Search This Blog

Monday 19 September 2011

Akta ganti ISA lebih ZALIM

Written by Ahmad Zamri Asa'ad
Khuzaimi
Jabatan Undang-Undang dan
Hak Asasi Manusia (JUHAM)
Dewan Pemuda PAS Malaysia
menyambut baik langkah
Perdana Menteri untuk
memansuhkan Akta
Keselamatan Dalam Negeri 1960
(“ISA”). Langkah tersebut
mendapat pujian semua pihak
khususnya parti pembangkang
dan badan-badan bukan
kerajaan.
Tetapi masih timbul tanda tanya
kerana pemansuhan ISA itu
bukanlah pemansuhan mutlak
tanpa bersyarat malah berikutan
pemansuhan itu, Kerajaan bakal
memperkenalkan dua lagi akta
baru bagi menggantikan ISA
tersebut. Menteri Dalam Negeri
pula mendedahkan bahawa dua
akta baru yang akan
diperkenalkan oleh Kerajaan
tersebut adalah berasaskan
kepada Patriot Act di Amerika
Syarikat dan Anti-Terrorism Act
di United Kingdom.
USA Patriot Act atau lebih
dikenali sebagai Patriot Act
adalah singkatan kepada Uniting
(and) Strengthening America
(by) Providing Appropriate Tools
Required (to) Intercept (and)
Obstruct Terrorism Act of 2001
dan telah diperkenalkan oleh
Presiden George W. Bush pada 6
Oktober 2001. Akta ini
diperkenalkan selepas Amerika
mengalami serangan September
11, 2001.
Akta ini telah memberikan lebih
kuasa kepada agensi
penguatkuasa undang-undang
untuk menyiasat rekod
panggilan telefon, emel,
perubatan, kewangan dan
mengurangkan halangan
undang-undang kepada agensi
berkenaan untuk menjalankan
aktiviti risikan khususnya ke
atas warga dan entiti asing. Akta
ini juga meluaskan kuasa agensi
itu berkaitan budi bicara
menahan atau menghantar
pulang mana-mana warga asing
yang menjadi suspek dalam
aktiviti keganasan.
Perlaksanaan akta ini telah
mendapat tentangan daripada
badan hak asasi manusia kerana
sifat akta ini yang zalim
khususnya penahanan tanpa
had masa ke atas suspek, kuasa
menggeledah sesebuah premis
tanpa kehadiran atau
pengetahuan pemilik dan kuasa
untuk memintas komunikasi
telefon, emel atau rekod
kewangan tanpa waran
mahkamah. Harus dinyatakan di
sini bahawa Mahkamah
Persekutuan telah beberapa kali
membuat keputusan bahawa
tindakan yang dibuat oleh
agensi berkenaan adalah salah
dan bercanggah dengan
perlembagaan.
Di United Kingdom, langkah
yang sama telah diambil oleh
Kerajaan kira-kira dua bulan
selepas serangan September 11,
2001, Kerajaan telah
memperkenalkan Anti-
Terrorism, Crime and Security
Act 2001. Ciri penting akta ini
adalah kuasa untuk menahan
warga asing yang menjadi
suspek dalang pengganas untuk
ditahan tanpa bicara tanpa had
masa. Namun, suspek itu boleh
dibebaskan dengan syarat beliau
meninggalkan United Kingdom.
Pihak Kerajaan mendakwa
bahawa kebanyakan bukti yang
ada ke atas suspek ini tidak
dapat digunakan di mahkamah
kerana factor-faktor
keselamatan.
JUHAM menegaskan bahawa
penggunaan akta ini telah
dicabar di Mahkamah dan House
of Lords pernah memutuskan
bahawa penahanan suspek
tanpa bicara adalah
bertentangan dengan Human
Rights Act 1998 kerana bersifat
diskriminasi memandangkan
akta ini membezakan tindakan
ke atas warga asing dan warga
UK sendiri. Oleh itu, Kerajaan
telah memperkenalkan satu akta
baru iaitu, Prevention of
Terrorism Act 2005 bagi
meremedikan masalah
diskriminasi itu. Di bawah akta
baru ini, tiada perbezaan antara
tahanan warga asing atau
warga tempatan. Namun, akta
baru ini juga tidak sunyi
daripada dicabar di mahkamah.
Umpamanya, pada tahun 2006
penggunaan akta baru ini juga
telah dicabar di mahkamah dan
mahkamah telah memutuskan
bahawa peruntukan seksyen 3
akta baru ini bertentangan
dengan hak untuk mendapatkan
perbicaraan yang adil di bawah
Art. 6 European Convention on
Human Rights. Ini kerana hak
orang yang ditahan ini bukan
ditentukan oleh sebuah
mahkamah yang bebas tetapi di
bawah keputusan pihak
eksekutif, yang mempunyai
kuasa melebihi kuasa pemutus
mahkamah. Walaupun
sebahagian keputusan ini
akhirnya diubah oleh Mahkamah
Rayuan namun hakikatnya
perlaksanaan akta ini telah
diimbangi dengan kewujudan
Human Rights Act 1998. Human
Rights Act 1998 adalah sebuah
akta yang sangat berkuasa
kerana akta ini menjadikan
sesuatu tindakan sebuah badan
awam sebagai tidak sah jika
tindakan tersebut bertentangan
dengan European Convention of
Human Rights. Malah, jika pihak
litigan tidak berpuas hati,
mereka masih boleh membawa
kes mereka ke mahkamah hak
asasi di Strasbourg.
Sungguhpun langkah Perdana
Menteri yang ingin
memansuhkan ISA adalah dialu-
alukan, namun, pengumuman
Kerajaan untuk menggantikan
ISA ini dengan dua model iaitu
Patriot Act di USA dan Anti-
Terrorism Act di UK adalah
sangat tidak tepat. Seharusnya
Kerajaan tidak meniru akta yang
dilaksanakan di USA dan UK itu
kerana ternyata keadaan di
negara tersebut tidak sama
dengan di Malaysia. Jika Kerajaan
ingin juga meniru kedua-dua
akta tersebut seharusnya
Kerajaan juga mesti
memperkenalkan undang-
undang yang boleh
mengimbangi sifat arbitrari
kedua-dua akta itu dengan
prinsip-prinsip hak asasi
manusia sejagat.
Sekiranya, prinsip hak asasi
tidak diperkukuhkan maka tiada
guna ISA itu dihapuskan dan
digantikan dengan dua akta
baru yang lebih menekan dan
bersifat opresif, ibarat pepatah
Melayu “Keluar mulut buaya,
masuk mulut singa”. Di
samping itu, sayugia juga
dimaklumkan bahawa beberapa
pindaan telahpun dibuat ke atas
Kanun Kesiksaan dan beberapa
akta lain berhubung dengan
kesalahan berkaitan terorisme
ini.
Sehubungan dengan ini juga,
JUHAM berpandangan adalah
wajar kerajaan mempelajari
falsafah perundangan Islam
yang tidak membenarkan
kebebasan seseorang itu disekat
melainkan dengan bukti yang
nyata. Penahanan seseorang
tanpa bicara adalah zalim dan
telah terbukti semenjak
beberapa dekad bahawa ISA
telah digunakan untuk menahan
tahanan semata-mata kerana
perbezaan fahaman politik.
Penahanan atas dasar perbezaan
politik adalah amat kejam dan
melainkan terdapat unsur-unsur
terorisme dalam perjuangan
politik itu maka barulah
tindakan penahanan dan
pendakwaan patut dibuat.
Selagi penyebaran fahaman
politik itu masih dalam batasan
demokrasi, tidak seharusnya
kerajaan berasa terancam.
Semoga demokrasi terus subur
di Malaysia.
AHMAD ZAMRI BIN ASA’AD
KHUZAIMI
Pengarah
Jabatan Undang-Undang Dan
Hak Asasi Manusia (JUHAM)
Dewan pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment