Search This Blog

Monday, 1 August 2011

Ranum Bulan Ramadhan

Fajar harum, bermula salam
dalam udara
yang mengkhusyukkan.
Semuanya tiba
terhampar dalam sepi bermusi
sabar:
Hati dan budi didakap tulus oleh
solat,
dalam gementar yang sentiasa
syahdu.
Dalam nafas jerih bulan paling
jernih.
Amalan puasa mencabar dan
mengajar.
Terlimpah sepadat makna yang
perih;
kita belajar dari derita yang
pedih;
dan dalam bulan ujian terlalu
garang
kita masih boleh mengutip
kesejahteraan.
Dongak ke angkasa rahsia
mengkhayali
lapisan sfera, ke kalbu
tersentuhnya
kita, digundahi kekaguman luar
biasa:
Bumi anugerah Allah dan terpili
kita
khalifahnya, datang yang
dianugerahi,
boleh memberi, boleh juga
memungkiri,
terpulang santun memilih atau
menafi.
Bulan ini memangnya saat
bertafakur,
bersedia memurni diri jika
bersyukur,
kerana puasa yang menguji,
menjelang
Idulfitri, nafas kudus
menghening diri,
terbimbing ke batin lebih
berhemah.
Terima kasih kita sepadu syahdu
arah
yang memang datang seiring
anugerah;
kerana manusianya kita, dan
kerdilnya
di hadapan Allah, wajar
bersyukurlah
setiap saat, sepurnama, penuh
mekar
dalam debar, membaca setiap
iktibar.
Kita beransur ranum dalam
bulan mulia.

a.samad said

No comments:

Post a Comment